Banjir berleluasa akibat hujan lebat di Sudan Selatan mengorbankan 19 orang dan menjejaskan kira-kira 639,225 yang lain di 26 daerah di enam negeri, lapor Xinhua memetik agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dilaporkan berkata, hampir 175,000 orang kehilangan tempat tinggal, berlindung di kawasan lebih tinggi di 16 daerah.
“Risiko kesihatan semakin meningkat, dengan peningkatan kes malaria, jangkitan pernafasan, dan cirit-birit,” kata OCHA dalam laporan kemanusiaan terbarunya yang dikeluarkan di Juba, ibu negara Sudan Selatan.
Ia berkata sekurang-kurangnya 121 kemudahan kesihatan telah terjejas di tengah-tengah laporan mengenai 144 gigitan ular dan 3,391 kes kekurangan zat makanan di 11 daerah.
Laporan itu dibuat sehari selepas badan amal global Save the Children berkata, dianggarkan 1.4 juta orang di Sudan Selatan menghadapi ancaman banjir tahun ini, dengan ramalan hujan melebihi purata untuk Oktober dan November.
Badan amal itu berkata masyarakat telah kehilangan tanah ladang, mata pencarian, rumah, dan akses ke sekolah dan kemudahan kesihatan, dengan 379,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat kenaikan air.
Save the Children juga melaporkan peningkatan penyakit bawaan air dan peningkatan kes gigitan ular, yang meningkatkan kebimbangan kesihatan awam.