Perdana menteri Sepanyol pada Khamis menyifatkan serangan Israel ke atas Flotila Sumud yang menuju ke Gaza sebagai “pelanggaran undang-undang antarabangsa” mengulangi bahawa flotila bantuan kemanusiaan “tidak mewakili sebarang bahaya” kepada Tel Aviv, menurut berita Anadolu.
Bercakap pada mesyuarat Komuniti Politik Eropah di Denmark, Pedro Sanchez dilaporkan berkata, beliau dan kerajaannya berjaga sepanjang malam berikutan perkembangan di sekitar flotila, mengekalkan hubungan berterusan dengan peserta.
“Seperti yang dikatakan oleh Menteri Luar (Jose Manuel) Albares, kami juga telah menyampaikan kepada kerajaan Israel bahawa adalah perlu mereka melindungi bukan sahaja hak rakan senegara kami tetapi semua anggota flotila,” tegasnya.
Perdana Menteri, berkata Sepanyol akan memberikan perlindungan diplomatik dan melindungi hak “yang boleh digugat oleh tindakan kerajaan Israel”.
“Saya telah mengatakan ini dalam banyak kesempatan: flotila itu tidak menimbulkan sebarang bahaya kepada kerajaan Israel, dan oleh itu kami berharap bahawa tindakan kerajaan Israel tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada flotila itu juga,” katanya.
Sanchez berkata, flotila itu berusaha untuk mengisi jurang yang ditinggalkan oleh sekatan yang dikenakan ke atas Gaza, di mana PBB dan agensinya telah lama beroperasi.
“Bagi kami sekarang, perkara paling penting ialah keselamatan rakan senegara dan mereka boleh pulang ke tanah air tidak lama lagi,” katanya.
“Dan dari situ, kami jelas akan mempertimbangkan sebarang jenis tindakan.”
Tentera laut Israel menyerang 21 kapal Flotila Sumud Global sejak lewat Rabu dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis di dalamnya, menurut penjejak flotila rasmi.
Aktivis yang ditahan sedang diangkut ke Pelabuhan Ashdod Israel, dari mana mereka akan dihantar pulang ke Eropah, menurut Kementerian Luar Israel, lapor Anadolu.
Flotila itu, sarat terutamanya dengan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, berlayar beberapa hari lalu untuk memecahkan sekatan Israel.