Angka kematian akibat bangunan sekolah runtuh di wilayah Jawa Timur Indonesia meningkat kepada 45 orang pada Ahad, ketika pasukan penyelamat mendapatkan lebih banyak mayat dari runtuhan, menurut berita Anadolu.
Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas), pasukan penyelamat telah mengambil 19 lagi mangsa dari runtuhan pada Ahad, menjadikan jumlah kematian kepada 45, meningkat daripada angka 37 pada awal hari.
Pengarah operasi Basarnas Yudhi Bramantyo dilaporkan memberitahu pemberita, jumlah keseluruhan mangsa penyelamat pindahkan ialah 149, dengan 45 dilaporkan mati, dan 104 terselamat.
Ini menurunkan jumlah orang hilang kepada 18 orang, walaupun angka itu masih tidak pasti, berdasarkan senarai kehadiran pelajar yang disediakan oleh pondok pesantren itu.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Bagi Tindakan Bencana (BNPB), Abdul Muhari dilaporkan berkata, seramai 167 pelajar terjejas dengan 104 daripadanya selamat. Empat belas mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan di hospital, 89 telah dibenarkan keluar, dan seorang telah dipindahkan ke kemudahan lain.
Bahagian bangunan Pondok Pesantren Al Khoziny di pekan Sidoarjo, Jawa Timur dilaporkan runtuh pada Isnin lalu, menimpa pelajar remaja semasa solat Asar, asasnya tidak dapat menyokong kerja pembinaan sedang dijalankan di tingkat atasnya.