Aktivis Sweden Greta Thunberg akan dihantar pulang ke Greece pada Isnin selepas ditahan di atas kapal Flotila Sumud Global, yang sedang belayar menuju ke Jalur Gaza untuk memecahkan sekatan Israel, menurut berita Anadolu memetik laporan saluran Israel i24News pada Ahad.
Saluran itu berkata, Thunberg akan tiba di Greece bersama-sama dengan warga Greece yang turut ditahan oleh Israel selepas menyertai flotila itu.
Menurutnya, sejumlah 165 aktivis akan dihantar pulang dalam penerbangan itu.
Thunberg adalah antara lebih 400 aktivis, ahli parlimen dan peguam yang ditahan selepas tentera Israel menyerang flotila bantuan ke Gaza pada Rabu. Sebahagian daripada tahanan itu telah dihantar pulang, manakala prosiding undang-undang untuk yang lain masih dijalankan.