Israel menghentikan semua operasi serangan tentera untuk menawan Kota Gaza, mengalihkan pasukannya kepada operasi pertahanan sahaja, menurut Xinhua memetik laporan media terkemuka Israel pagi Sabtu.
Tindakan Israel itu susulan tuntutan Presiden AS Donald Trump supaya Israel menghentikan serta-merta mengebom Gaza, selepas Hamas memberikan respons terhadap rancangan 20 perkara presiden AS itu dengan mengatakan ia bersedia secara prinsip untuk membebaskan semua 48 tebusan Israel yang ditahan di Gaza.
Israel juga dilaporkan merancang untuk menghantar pasukan perunding untuk memuktamadkan perjanjian itu, termasuk gencatan senjata di Gaza, pemulangan tebusan, pembebasan rakyat Palestin dari penjara Israel, dan pengawasan antarabangsa terhadap pembinaan semula dan tadbir urus Gaza selepas tamat konflik.
Tidak dinyatakan sama ada rundingan itu akan berlangsung di Doha, Qatar, seperti pusingan sebelumnya.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan ketuanya, Eyal Zamir, mengadakan penilaian situasi khas semalaman, berdasarkan perkembangan terkini, dengan penyertaan pegawai kanan.
Selaras dengan arahan daripada eselon politik, Zamir mengarahkan supaya persiapan dipertingkatkan untuk pelaksanaan fasa pertama rancangan Trump bagi pembebasan tebusan, menurut kenyataan IDF.
Pejabat Perdana Menteri Israel dilaporkan berkata dalam satu kenyataan bahawa “mengikut maklum balas Hamas, Israel sedang bersiap sedia untuk segera melaksanakan fasa pertama rancangan Trump untuk pembebasan segera semua tebusan”.
Ia menambah, “kami akan terus bekerja dengan kerjasama penuh dengan presiden dan pasukannya untuk menamatkan perang mengikut prinsip yang ditetapkan oleh Israel yang selaras dengan visi Presiden Trump”.
Hamas berkata sebelum ini ia telah bersetuju pada dasarnya untuk membebaskan semua tebusan Israel di bawah cadangan pertukaran itu dan bersedia untuk merundingkan pelaksanaan.
Ia berjanji untuk memindahkan pentadbiran Gaza kepada teknokrat bebas yang disokong oleh negara Arab dan Islam, dan mengalu-alukan usaha antarabangsa untuk menamatkan konflik dan menangani masa depan Gaza di bawah undang-undang antarabangsa.